Saturday 25 October 2014





Mengatasi anak yang suka merengek


Menghadapi anak kecil yang suka merengek, ibu bapa harus mempunyai kesabaran yang tinggi karena ia mudah sekali menangis. Tingkah laku ini berhubung rapat dengan temperamen anak. Umumnya temperament anak dibahagi kepada tiga:
  1. mudah
  2. sukar
  3. lambat (slow to warm up).


Untuk mengetahui temperamen anak kita, ibu  bapa perlu melihat ciri-ciri mudah, sukar, dan lambat ini semenjak anak masih bayi. Anak yang tergolong dalam kumpulan pertama sangat mudah menyesuaikan diri dalam situasi yang baru. Sebaliknya anak yang tergolong dalam kumpulan kedua sukar menyesuaikan diri dengan menunjukkan reaksi yang negatif bila diletakkan dalam situasi yang baru. Anak yang tergolong dalam kumpulan ketiga pula lambat serta memerlukan masa tertentu untuk menyesuaikan diri. Secara umumnya anak-anak yang selalu merengek adalah anak-anak yang mempunyai temperament sukar dan lambat.



Faktor penyebab dan cara-cara melayani anak-anak yang suka merengek


1. Keadaan fizikal anak
Anak yang mengantuk, kepanasan, kedinginan, kelaparan, kehausan dan tidak sihat umumnya suka merengek.

Sikap Ibu bapa:
Perlu peka terhadap keadaan fizikal anak dan cari punca kenapa anak merengek dan selesaikan permasalahan itu. Umumnya dalam keadaan ini, anak akan kembali ceria jika keperluan fizikalnya sudah dilayani


2. Mencari perhatian
Kadang-kadang anak inginkan perhatian. Ini sering berlaku kerana ibu bapa biasanya memberikan perhatian kepada anak hanya bila dia merengek sedangkan tidak ketika anak berkelakuan baik. Akibatnya, si anak "belajar" bahwa keinginannya(perhatian) hanya akan dipenuhi sekiranya dia merengek.

Sikap ibu bapa:
Jangan berikan perhatian istimewa ketika anak merengek. Jangan penuhi permintaannya sehingga ia menyedari bahwa cara yang telah dilakukan itu tidak benar. Tindakan ini juga dapat mendidik anak mengendalikan dirinya.
Ajak anak berkomunikasi dengan baik, didiklah dia bahwa cara yang dilakukannya itu adalah salah. Misal, "Kalau merengek macam ni.. ibu tak tahu dan tidak faham apa yang Nina mahu. Cuba cakap baik-baik dengan ibu, beritahu elok-elok dengan ibu apa yang Nina mahu.."
Berilah perhatian kepada anak setiap masa, terutama ketika dia berkelakuan baik dan tidak merengek. Bentuk perhatian itu cukup dengan kata-kata seperti, "Ibu bangga Nina tidak merengek ketika mandi tadi.."


3. Ingin menunjukkan kekuatannya
Anak kecil memiliki kecenderungan untuk menolak atau membantah terhadap ibu bapa. Anak-anak ingin menunjukkan bahwa dirinya pun mempunyai keinginan atau pendapat. Oleh itu, ibu bapa tidak perlu risau sekiranya dalam banyak perkara anak kecil kerap menolak dan lebih menyenangi pilihannya sendiri. Bila keinginannya tidak terpenuhi, ia akan menyebabkan anak merengek. Apalagi ramai ibu bapa yang bersikap memaksakan anak mengikut kehendak mereka karena merasakan ibu bapalah yang paling berkuasa.

Sikap Ibu bapa:
Jangan memaksa anak mengikut keinginan kita. Cubalah secara diplomasi seperti memberi pilihan kepada anak asalkan matlamat asal kita tercapai. Melalui cara ini, kita sebenarnya mendidik anak untuk membuat keputusan sehingga dapat memupuk rasa keyakinan diri pula. Contohnya, bila anak menolak untuk dimandikan, berilah pilihan, "Nina nak mandi dengan air panas atau air sejuk?" Melalui cara ini, tujuan untuk memandikan anak dapat dicapai dan anak pula boleh membuat keputusan dari dua pilihan itu sehingga tidak terasa seperti dipaksa oleh ibu bapanya Sedikit sebanyak anak merasakan bahawa dia berkuasa ke atas dirinya sendiri.


4. Terluka perasaannya
Biasanya ini terjadi bila anak dimarahi. Ini juga akan membuatkan anak merengek dan mungkin tanpa sedar mengucapkan kata-kata yang menyakitkan, seperti, "Nina benci pada ibu." Ungkapan itu sesungguhnya hanya untuk menunjukkan rasa sedihnya. Namun, bila mendengar ucapan itu ramai ibu bapa menjadi semakin marah.

Sikap Ibu bapa:
Ibu bapa harus bersabar. Peluklah anak sambil menenangkannya seperti, "Ibu sayang pada Nina. Nina jangan menangis lagi ye.." Dengan pelukan dan ucapan yang menenangkan itu akan membuat anak merasa tenang dan merasa dirinya dilindungi.


5. Tidak mampu melakukan sesuatu
Ibu bapa tanpa sedar sering meminta dan mengharapkan anaknya melakukan sesuatu seperti orang dewasa. Ketika makan, misalnya, tanpa sedar ibu bapa meminta atau mengharapkan anak makan dengan cepat dan tidak menumpahkan makanan, padahal anak kecil belum mampu melakukannya. Ini pun boleh menyebabkan anak-anak merengek.

Sikap Ibu bapa:
Jangan memaksa anak melakukan sesuatu yang memang belum mampu dilakukannya. Sentiasa berikan penghargaan walaupun kejayaan yang dicapai sangat kecil untuk mendorong semangatnya sekaligus membangun rasa keyakinan diri. Contoh, "Wah, Nina suka makan sayur ya...tinggal sedikit lagi tu.. cuba habiskan.." Penghargaan itu diberikan ketika anak mampu melakukan sesuatu yang positif.




No comments:

Post a Comment